Friday 27 April 2012

Maafkan Agar Dimaafkan


Ah! Kenapa diri ini? Apa yang pernah dibaca dalam al-Quran, hadith dan buku-buku sukar benar dipraktikkan. Benar, membacanya sahaja tidak akan menjadikan kita insan yang lebih baik, sekiranya ilmu tidak dipraktikkan. Apabila cuba dipraktikkan, barulah terasa pedihnya. Ego terhenyak, rasa marah tertekan. Mampukah diri memaafkan ketika berkuasa membalas? Forgive and forget? Wah, jauh sekali! Nak lupakan? Nak memaafkan pun sukar!

Aku bertemunya sekali lagi setelah sekian lama terpisah. Perpisahan yang disebabkan perselisihan. Secara "basa-basi" memang telah lama kami bermaafan. Tetapi dia dan aku tahu, mendung antara hati kami masih belum reda. Kini setelah hampir lima tahun, suasana sudah berubah. Yang di bawah ke atas, yang di atas meluncur ke bawah.

    "Maaf, bang..."

    Aku tergamam. Aku renung matanya. Agak layu dan keletihan.

    "Oh, tak apa-apa. Kita jumpa lagi nanti," kataku sambil memberikan kad nama. Dia juga memberikan kadnya, dan kami terus terpisah. Sepanjang perjalanan pulang, hatiku resah. Jelas aku masih sukar melupakan. Atau aku masih belum memaafkan?

    Perlahan aku mainkan semula sebuah kaset daripada siri kaset-kaset "pengubat jiwa" koleksi peribadi yang ada di dalam kereta.

    "Orang yang tidak memaafkan akan sentiasa 'diikat' oleh orang yang tidak dimaafkannya. Maafkan, nescaya kau akan terlepas. Kau kan terus bebas dari mengingati kesedihan, kekecewaan dan kemarahan yang dikenakannya ke atasmu. Itu sakit. Maafkan, engkau akan sihat, engkau akan bebas!"

    Aku diam. Akur. Rupanya aku masih dibelenggu rasa sakit itu.

    "Mengapa terlalu sukar memaafkan? Ya, engkau ego. Rasa besar diri. Apa punca ego? Engkau tidak merasa kebesaran Allah. Orang yang merasakan kebesaran Allah akan merasakan kekerdilan dirinya."

    Sekali lagi suara dalam kaset itu menusuk hatiku. Aku ego? Ya. Jawab suara hati.

    "Allah lagikan Pengampun. Dosa demi dosa hambaNya, diampunkan segalanya. Bukan sekadar mengampunkan, malah Allah menyayangi pendosa yang bertaubat dari dosanya.

    Kenapa kau rasa "besar"? Kaukah yang berikan dia rezeki? Kaukah yang berikan dia hidayah? Kaukah yang sembuhkan dia dari sakit demamnya? Insaflah, Allah yang berikan dia semuanya. Jika Allah begitu besar jasa kepadanya pun boleh memaafkan, adakah kau layak untuk tidak memaafkan?"


    Sekali lagi aku terhenyak. Oh egonya aku.

    Aku belokkan kereta ke arah lain. Tidak jadi pulang ke rumah. Sengaja memanjangkan masa untuk lebih mendengar suara kaset dan suara hati sendiri.

    "Kau tau tak, aku tak suka orang yang mungkir janji. Kau selalu mungkir janji. Aku tunggu, kau lewat. Kau janji nak bayar, kau culas. Kau kata nak buat, kau tangguh. Kau janji macam-macam, tapi apa pun tak ada. Kau buat macam-macam, tapi apa pun tak ada. Kau buat macam-macam berulang-ulang kali... Kali ini aku terlalu susah, kau buatkan aku begini. Sampai hati kau."

    "Eh, siapa suruh kau percaya! Siapa suruh kau tunggu-tunggu. Biasalah, kau takkan tak tahu perangai aku."

    "Kalau macam ni susahlah aku."

    "Dah tahu susah, jangan kawan dengan aku!"


    Masih terngiang-ngiang dialog antara kami ketika itu. Walaupun dua hari kemudian dia menelefonku meminta maaf, dan aku memaafkannya tetapi sejak itu kami "putus".

    "Cuba bayangkan kasih sayang Allah. Kalau seorang itu berdosa, kemudian bertaubat, kemudian berdosa lagi, namun Allah kasih dan terus sudi mengampunkannya setiap kali dia bertaubat. Sebab itu kata Imam al-Ghazali, seorang hamba yang bertaubat tetapi kembali berdosa, jangan sekali-kali putus asa untuk bertaubat lagi. Mana tahu Izrail mencabut nyawanya ketika dia sedang bertaubat atau sedang dalam perjalanan menuju satu taubat!"

    Aku terdiam. Alasanku tidak memaafkannya ialah dia buat begitu berulang-ulang kali. Ya, sukar memaafkannya. Tapi Allah? Sekali lagi, suara hati menusuk jiwa. Siapa besar?

    Reputasiku hampir pupus dibuatnya. Malah, aku hampir hilang pekerjaan. Terlalu besarkah dosanya padaku?

    "Sekalipun si hamba datang dengan dosa sepenuh langit dan bumi, sebanyak pepasir di pantai, seluas air di lautan, Allah akan mengampunkannya. Sebesar-besar dosa manusia, besar lagi pengampunan Allah. Malah keampunanNya sentiasa mendahului kemurkaanNya.

    Aduh, kecilnya kesalahan manusia sesama manusia, berbanding dosa manusia dengan yang Esa. Apakah alasan kita untuk tidak memaafkan? Sedangkan Allah sudi memaafkan walau sebesar mana pun dosa kita, insan yang hina ini kepadaNya, zat yang Maha Mulia.

    Maafkan dosa sesama kita, agar mudah kira bicara kita di mahkamah keadilanNya. Allah Penyayang, suka kepada orang yang penyayang. Allah Maha Pemaaf, dan suka kepada orang yang suka memaafkan. Maafkanlah agar dimaafkan."

    Tanpa lengah aku mencapai telefon bimbit. Kad namanya kukeluarkan.

    "Helo, Assalamualaikum. Ya, ya, aku ni. Kita jumpa boleh? Tempat? Kau tentukan. Oklah, setengah jam lagi aku sampai," kataku. Tanpa sedari kakiku menekan pedal minyak. Ingin segera kerana ingin segera memaafkan. Agar segera diampunkan

Ya Tuhan... egonya aku selama ini. Menyimpan sifat "ketuhanan" dalam diri yang begitu hina dan kekurangan.

0 00 Comment:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...